Sumber Gambar dari Berita Harian

KUMPULAN pertama seramai 25 pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah yang menduduki peperiksaan Program Diploma Baccaulaureate Antarabangsa (IBDP) tahun lalu berjaya meraih keputusan amat memberangsangkan, dengan murid terbaik mendapat 42 daripada keseluruhan 45 mata.

Kesemua 25 pelajar itu lulus dan menerima Diploma Dwibahasa – diberikan kepada pelajar yang berjaya mendapat gred 3 atau lebih tinggi dalam dua bahasa.

Keputusan purata yang dicapai madrasah itu ialah 34.8 mata, lebih tinggi berbanding keputusan global purata sebanyak 29.81 mata serta setaraf dengan keputusan purata setempat sebanyak 34.83 mata.

Pelajar yang menduduki peperiksaan IBDP di Singapura antara Mei dengan November 2020 rata-rata menerima keputusan baik.

Kadar kelulusan bagi keseluruhan 2,228 pelajar yang menduduki peperiksaan IBDP di sini ialah 97.73 peratus.

Jumlah itu jauh melebihi kadar keputusan global 76.68 peratus dan kadar keputusan di Asia Pasifik iaitu sebanyak 91.83 peratus.

Malah, Singapura berjaya menghasilkan 55 daripada 99 pelajar yang menerima keputusan sempurna 45 mata tahun ini.

Dihubungi Berita Harian, pelajar terbaik IBDP Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Abdul Hakam Nor Razak, jelas gembira menerima keputusan hampir sempurna.

Pelajar Pra-Universiti 2 itu berkata beliau bersyukur menerima keputusan baik dan mendedahkan beliau memang meletakkan sasaran tinggi untuk dicapai.

“Saya gembira. Sebenarnya saya ada letak matlamat dapat (keputusan) tinggi dan kalau dapat tu sememangnya akan rasa gembira.

“Tapi susah juga nak jangkakan apa-apa sebab saya tak ada kayu ukur kerana kami merupakan kohort pertama ‘kan… tapi itulah saya amat bersyukur,” ujar beliau.

Anak muda berusia 19 tahun itu meraih gred 7, iaitu gred tertinggi, bagi mata pelajaran Kimia, Matematiks, Bahasa Inggeris dan Politik Global dan gred 6 bagi Bahasa Melayu dan Bahasa Arab bagi IBDP.

Beliau turut mendapat gred 2 bagi tiga mata pelajaran wajib IBDP – Teori Pengetahuan (TOK), Kreativiti, Aktiviti dan Khidmat (CAS) serta Penulisan Lanjutan.

Di samping itu, beliau mengambil 10 mata pelajaran ukhrawi.

Encik Abdul Hakam turut menyertai kegiatan ko-kurikulum (CCA) bahas di madrasah selama tiga tahun dan merupakan sebahagian Majlis Pelajar sekolahnya itu selama dua tahun.

Ditanya sama ada mengimbangi masa antara kesemua pelajaran dan komitmen itu mencabar, anak bongsu daripada empat beradik itu berkata “tak sangat”.

“Saya tak ada banyak gangguan sebab saya tak ada media sosial. Saya pun tak banyak main game.

“Saya habiskan banyak masa lapang dengan belajar dan tak susah sangat dorong diri saya untuk belajar sebab saya betul-betul suka belajar,” ujar beliau, yang tidak mengambil sebarang tuisyen.

Malah, beliau berazam melanjutkan pelajarannya di universiti setempat dalam bidang sains kelak dan bercita-cita menjadi ahli akademik pada masa hadapan “sebab ia memberi saya peluang belajar seumur hidup”.

Bangga dengan pencapaian kesemua pelajarnya, Cik Khalidah Abdullah, Penyelaras Program IBDP di Madrasah Aljunied Al-Islamiah, berkata: “Kami awalnya tidak mahu menaruh harapan terlalu tinggi bagi pelajar kerana mereka harus mengimbangi dua kurikulum pada satu masa di peringkat pra-universiti iaitu IBDP dan Program Pendidikan Islam Azhar 2.0.

“Lagi pula, guru-guru kami semua masih baru terhadap pengajaran kurikulum IBDP dan kami juga tidak mahu terlalu memberi tekanan melampau kepada mereka.

“Kami yakin bahawa pelajar kami berkebolehan tapi pada masa yang sama kami juga risau sama ada mereka dapat menyelesaikan tugas untuk diserahkan dan membuat persediaan bagi peperiksaan.”

Turut berkongsi kebanggaannya ialah mudirah Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Cik Khairiana Zainal Abiden.

“Alhamdulillah, sebagai kohort pertama, pencapaian anak-anak IB ini amat memberangsangkan. Tanpa ada pengalaman, pelajar-pelajar ini telah membuktikan bahawa mereka boleh mencapai keputusan yang cemerlang.”

Sumber dari Berita Harian, pada tanggal 05/01/2021. Baca artikel asli disini: https://www.beritaharian.sg/setempat/madrasah-aljunied-catat-keputusan-memberangsangkan 

Resources

Article

Social Media