Sumber Gambar dari Mediacorp

SINGAPURA: Mendedahkan para pelajar madrasah kepada mata pelajaran dan bidang ilmu yang luas dan pelbagai adalah sebahagian usaha Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) untuk mempersiapkan asatizah masa depan bagi memenuhi keperluan sosio-agama masyarakat yang dijangka lebih kompleks.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli berkata demikian dalam satu catatan di Facebook pada Isnin (4 Jan), menyusuli pengumuman keputusan peperiksaan kohort pertama Madrasah Aljunied yang menduduki Program Diploma International Baccalaureate (IB).

Seramai 25 pelajar menduduki peperiksaan itu, dengan kesemuanya lulus dengan cemerlang dan mencatat prestasi yang dibanggakan di peringkat serantau dan global.

Kohort tersebut meraih markah purata 34.8 daripada 45 mata, berbanding purata 34.83 di peringkat serantau dan 29.81 di peringkat global.

Keputusan itu malah menjangkaui sasaran awal pihak madrasah tersebut.

“Sebenarnya sasaran kami adalah untuk mencapai 100 peratus kelulusan dengan purata 29 mata. Tapi masyaAllah, kami amat bangga kerana mereka dapat mencapai prestasi markah purata 34.8. Ini adalah jangkauan yang tidak kami fikirkan,” kata mudirah Madrasah Aljunied, Cik Khairiana Zainal Abiden kepada BERITAmediacorp.

“Ini sebahagian daripada usaha MUIS untuk memperkasa asatizah masa depan dengan kemahiran dan latar belakang yang pelbagai demi memenuhi keperluan sosio-agama masyarakat masa depan yang dijangka lebih kompleks,” tulis Encik Masagos pada Isnin.

Pendedahan meluas ini, kata Encik Masagos, adalah penting meskipun ramai pelajar madrasah akan meneruskan pengajian dalam bidang agama.

“Saya harap lebih ramai asatizah dan pelajar akan terangsang untuk meneroka bidang-bidang ilmu lain agar dapat menjadi tokoh agama yang dinamik di hari muka,” sambung beliau.

“Tahniah kepada kepada semua pelajar, ibu bapa, para guru dan pihak madrasah yang tidak putus-putus memberikan sokongan kepada mereka!”

Resources

Article

Social Media