KESEMUA kohort pertama 25 pelajar Madrasah Aljunied yang menduduki Program Diploma International Baccalaureate telah lulus dengan cemerlang, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, pada Isnin (4 Jan).

Memberi ucapan tahniah kepada pelajar, ibu bapa, guru dan pihak madrasah yang telah memberi sokongan kepada pelajar berkenaan, Encik Masagos berkata berita tersebut merupakan berita yang memberangsangkan bagi sektor madrasah sedang ramai pelajar dan ibu bapa sibuk pada hari pertama sekolah.

“Kita diserikan dengan berita yang memberangsangkan di hari pertama sekolah dibuka,” katanya dalam satu pos di Facebook.

“Ini sebahagian daripada usaha Muis (Majlis Ugama Islam Singapura) untuk memperkasa asatizah masa depan dengan kemahiran dan latar belakang yang pelbagai demi memenuhi keperluan sosio-agama masyarakat masa depan yang dijangka lebih kompleks.

“Walaupun ramai daripada para pelajar ini akan meneruskan pengajian dalam bidang agama, mereka telah didedahkan kepada subjek dan bidang ilmu yang lebih luas dan pelbagai,” kata Encik Masagos lagi.

Encik Masagos berharap agar lebih ramai asatizah dan pelajar akan terangsang untuk meneroka bidang-bidang ilmu lain agar dapat menjadi tokoh agama yang dinamik di hari muka.

Resources

Article

Social Media