Sumber Gambar dari Berita Mediacorp

Pandemik COVID-19 sekarang bukan penghalang bagi Shaikha Zahirah Shaikh Alwie untuk mencapai cita-citanya, bahkan membuka peluang untuk memburu impian usahawan muda itu.

Pantang menyerah, lulusan baru bidang pengajian sains penglihatan optometri di Politeknik Singapura ini, memilih untuk membuka perniagaannya sendiri, lebih khusus lagi kedai optik, yang jarang diceburi masyarakat Melayu/Islam.

Ini meski di tengah-tengah cabaran pandemik COVID-19 sekarang.

“Walaupun kami sedang mengalami COVID-19 sekarang ini, tetapi saya yakin bahawa ramai yang tetap memerlukan kacamata kerana ia merupakan satu keperluan harian dan ia tetap penting untuk memeriksa kesihatan mata,” kata pemilik berusia 21 tahun itu.

Sebenarnya, sejak di bangku sekolah lagi, bekas pelajar Madrasah Alsagoff Al-Arabiah ini sudah menanam hasrat untuk memiliki perniagaannya sendiri.

Hasil dorongan ibu bapa, serta abangnya, yang juga mempunyai kedai optiknya sendiri, House of Spectacles dibuka di Golden Landmark pada April lalu. Untuk menonton temu ramahnya – klik di sini

CABARAN UNTUK RAIH KEPERCAYAAN PELANGGAN

Sepanjang tempoh itu, peniaga muda ini berdepan pelbagai cabaran termasuk meraih kepercayaan pelanggan terutamanya golongan yang lanjut usia.

“Untuk mendapatkan pelanggan-pelanggan saya memahami kepentingan memeriksa mata mereka dengan kerap agak mencabar. Ini kerana ramai yang berfikir mereka hanya perlu memeriksa mata mereka hanya bila kacamata mereka hilang atau pecah,” ujar Shaikha Zahirah.

“Sebenarnya, mereka harus selalu datang setiap tahun untuk memeriksa kesihatan mata mereka. Ini supaya kami sebagai seorang pakar optometri dapat mengesan sebelum terlambat, jika ada apa-apa komplikasi seperti katarak, glaucoma atau infeksi kanta lekap,” tambah beliau.

Namun, anak bongsu empat beradik ini tidak patah semangat.

GUNA WADAH MEDIA SOSIAL UNTUK BANTU PERNIAGAAN

Sebagai seorang usahawan baru, Shaikha Zahirah berusaha keras menyuntik daya kreativiti dan inovasi untuk bersaing dengan syarikat besar dan mapan.

Ini termasuk menggunakan wadah media sosial seperti Facebook, TikTok dan Instagram untuk menguar-uarkan khidmat dan promosi yang ditawarkan.

Misalnya, melalui wadah TikTok, House of Spectacles memuat naik bahan-bahan yang informatif, lagi lucu bagi meningkatkan kesedaran orang ramai tentang pentingnya menjaga kesihatan mata.

Menurut pemilik muda ini juga, bagi pelanggannya yang berpuas hati dengan khidmat yang ditawarkan, mereka turut memberi maklum balas yang positif yang dimuat naik di media sosial mereka sendiri.

Yang jelas, hasrat Shaikha Zahirah untuk membantu masyarakat melihat dunia dengan lebih jelas lagi menjadi pendorong untuknya bertakat di tengah-tengah pandemik COVID-19.

“Dari dulu lagi, ini merupakan impian saya untuk membuka perniagaan sendiri dan ianya haruslah sesuatu yang menyumbang kembali kepada masyarakat. Saya rasa kaca mata dan kesihatan mata adalah salah satu cara untuk menolong masyarakat,” kata Shaikha Zahirah.

Bagi usahawan baru ini, harapan beliau adalah untuk terus membantu masyarakat terutama sekali kanak-kanak mengatasi masalah rabun jauh atau miopia.

Sumber dari Berita Mediacorp

Resources

Article

Social Media