Sumber Gambar dari Berita Harian

SEJAK kecil, ibu Cik Nuha Amani Misbahuddin telah menekankan peri pentingnya mempunyai pendidikan yang baik untuk membolehkannya menaiki tangga mobiliti sosial di sini.

Cik Nuha, seorang lulusan Universiti Nasional Singapura (NUS) dalam bidang Sastera Bahasa Inggeris, berkongsi kepada Berita Harian (BH) bahawa sejak kecil, ibunya akan mengajak beliau dan dua abang dan kakaknya untuk membaca buku di perpustakaan.

Menurut bekas murid Madrasah Al Irsyad Al Islamiah itu, minat mendalam terhadap mata pelajaran itu dipupuk meskipun beliau hanya terdedah kepada subjek itu di peringkat maktab rendah.

Tetapi, beliau cemerlang dalam pelajarannya hingga membolehkannya meraih ijazah sarjana muda kepujian kelas pertama dari NUS dan juga menjadi penerima Anugerah Cemerlang Yayasan Mendaki pada 2020.

“Saya selalu berasakan bahawa saya mempunyai kebolehan melakukan lebih banyak untuk diri saya sendiri dan pendidikan itu menjadi ruang untuk saya menceburi minat baru dan membina keyakinan diri saya agar saya dapat menyumbang kepada masyarakat pada masa depan nanti.

“Sejak kecil, ibu saya telah memupuk minat membaca, jadi selepas saya berpindah daripada madrasah ke Maktab Rendah Jurong, saya memutuskan untuk menceburi bidang sastera Inggeris, meskipun saya tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam bidang itu!” kata Cik Nuha.

Selepas menjalani latihan sambil belajar sebagai pendidik di bawah Kementerian Pendidikan (MOE), beliau berharap menjadi seorang guru sekolah dalam mata pelajaran Inggeris dan Sastera tidak lama nanti.

Selain pencapaiannya dari segi akademik, beliau juga bergiat aktif menjalankan kerja-kerja kemasyarakatan dalam Persatuan Islam NUS (NUSMS) sepanjang tiga tahun di sekolah itu dan pernah menyandang jawatan sebagai Naib Presiden.

Ibunya, 58 tahun, seorang kakitangan pentadbiran di sebuah masjid di sini, merupakan pembimbing utamanya dalam mengharungi sebarang cabaran yang dihadapinya.

Ayahnya pula merupakan seorang warga Indonesia yang kerap bekerja di luar negara sejak Cik Nuha kecil lagi.

“Saya akur, apabila saya berpindah daripada madrasah ke sistem pendidikan sekular memang agak sukar, namun saya bangga kerana ibu saya sangat menggalakkan saya meraih manfaat kededua bidang itu – meskipun beliau merupakan lulusan madrasah sehingga peringkat sekolah menengah dulu,” kata Cik Nuha.

“Dengan prinsipnya yang mementingkan pendidikan, saya bangga dapat memikul semangat yang sama dan saya akan terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam apa jua bidang yang saya menceburi,” katanya.

Sumber dari Berita Harian, pada tanggal 19 June 2021. Baca artikel asli disini: https://www.beritaharian.sg/setempat/pendidikan-kunci-daki-tangga-mobiliti-sosial 

Resources

Article

Social Media